• Skip to primary navigation
  • Skip to main content
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
logo bromoden

Bromoden

Teknologi mudahkan hidup

  • Laman utama
  • Internet / Online
  • Review / Cadangan
  • Komputer / Software
  • Apps / Gajet
  • Hiburan / Media

Cara isi e-Filing (MyTax) untuk 2023/2024 [Panduan Lengkap]

March 1, 2024 by B. L. Joseph | Kategori: Internet / Online

cara isi e-filing mytax

Bromoden mengajak anda mencuba Online Shoping TEMU! Murah dan penghantaran percuma. Untuk pengguna baru, Guna RM500 Coupon Bundle ini: https://temu.to/m/uqbgefrbv72. Atau, guna 30% OFF code: acs987364

Rujukan untuk anda kemukakan Borang Nyata (BN) secara e-filing melalui Portal MyTax.

Post ini dibuat khas untuk memudahkan urusan pengisian eFiling (dalam talian) melalui portal yang baru diperkenalkan iaitu Portal MyTax.

Disarankan baca seimbas lalu post ini, sediakan maklumat dan dokumen yang diperlukan dan barulah mula mengisi.

Dalam post ini:

Isi Kandungan Sembunyikan
Perkara penting untuk diketahui
Dokumen yang diperlukan
Langkah-langkah untuk Membuat efiling
1 Akses ke Portal MyTax
2 Log Masuk akaun MyTax anda
3 Buka Borang BE anda
4 Lengkapkan Maklumat Individu
5 Lengkapkan Maklumat Lain
6 Lengkapkan Pendapatan Berkanun dan Jumlah Pendapatan
7 Lengkapkan Maklumat Pelepasan
8 Bahagian Rumusan
9 Tandatangan dan hantar taksiran
Bahagian Maklumat Tambahan Berkenaan ezHASiL
Bacaan tambahan
Bagaimana nak ubah jika tersilap isi?
Berapa lama tempoh bayaran balik cukai?
Pengecualian cukai faedah: Senarai institusi terlibat
Jumlah pengecualian cukai untuk pendapatan royalti
Untuk sebarang pertanyaan lanjut
Kongsikan post ini:

Perkara penting untuk diketahui

Sila ambil perhatian.

Beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui untuk proses pengisian borang be efiling secara online:

  • Tarikh mula boleh isi borang seawal 1 Mac
  • Tarikh akhir mengisi borang adalah 30 April*
  • Bayaran balik cukai terlebih bayar 30 hari dari tarikh Borang Nyata dihantar secara e-Filing.

*Tarikh akhir 30 April ini adalah untuk jenis borang e-BE (warganegara berkerja dan tidak menjalankan perniagaan), e-BT (bukan warganegara, pakar, berjawatan tinggi) dan e-M (bukan warganegara).

Majoriti kita adalah tergolong dalam e-BE, iaitu golongan berkerja dan tidak menjalankan aktiviti perniagaan.

Sila ambil maklum kelewatan mengemukakan borang nyata akan mengakibatkan anda didenda seperti berikut:

  1. Lewat sehingga 12 bulan – Penalti 15%
  2. Lewat melebihi 12 bulan hingga 24 bulan – Penalti 30%
  3. Lewat melebihi 24 bulan – Penalti 45%

Piagam pelanggan LHDNM menyatakan bahawa bayaran balik akan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas borang nyata dihantar melalui efiling (90 hari jika borang dihantar secara tangan atau manual).

Namun, berdasarkan rekod tahun sebelumnya, bayaran balik akan dibuat seawal 2 minggu (14 hari) selepas anda siap efiling.

Dokumen yang diperlukan

Antara senarai dokumen yang perlu ada:

  • Nombor kad pengenalan anda
  • Tarikh Kahwin/cerai/mati – Mana-mana yang berkenaan
  • Nombor kad pengenalan pasangan
  • Tarikh lahir pasangan
  • Alamat email
  • Bank dan No akaun bank
  • Alamat surat menyurat
  • Borang EA/EC – Daripada Majikan anda

Dan juga resit atau bukti pembelian/perbelanjaan  pada tahun taksiran untuk (mana-mana yang berkaitan):

  • Diri sendiri, pasangan, anak dan juga ibu bapa
  • Alat sokongan khas
  • Pendidikan diri sendiri dan anak tahun yang dilaporkan
  • Buku, majalah, surat khabar atau bahan bercetak
  • Komputer, laptop, telefon pintar
  • Peralatan sukan
  • Bil bulanan langganan internet (atas nama sendiri)
  • Alat penyusuan ibu (wanita sahaja)
  • Taman asuhan kanak-kanak/TADIKA
  • Tabungan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional
  • Alimoni bekas isteri
  • Insuran nyawa, pendidikan dan perubatan
  • Zakat/ Fitrah

(untuk lebih jelas, baca hingga habis dahulu)

Langkah-langkah untuk Membuat efiling

Untuk memudahkan anda, panduan ini disusun mengikut urutan sebenar pada sistem e-Filing.

Sebarang maklumat tambahan dikumpulkan pada bahagian akhir post ini.

Selamat mengisi dan dapatkan semula cukai terlebih bayar anda!

1 Akses ke Portal MyTax

Anda boleh akses Portal MyTax melalui:

  • url Portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my
  • portal HASil (https://www.hasil.gov.my) > Menu MyTax

Paparan Portal MyTax kelihatan seperti berikut:

paparan utama portal mytax
Paparan utama Portal MyTax.

2 Log Masuk akaun MyTax anda

log masuk akaun mytax
Log masuk akaun MyTax.

Pilih jenis pengenalan anda (No. kad pengenalan, pasport, tentera atau polis), masukkan no pengenalan, klik pada butang ‘hantar’.

Pastikan ‘Frasa keselamatan’ anda betul dan klik pada butang login.

Untuk Log Masuk Kali Pertama

Dalam paparan berikut:

log masuk akaun mytax
Log masuk akaun MyTax

Pilih jenis pengenalan, kemudian masukkan no pengenalan (nombor sahaja), dan klik pada butang ‘Hantar’

Sistem akan memaparkan notifikasi ‘Sijil Digital tidak wujud’.

Anda boleh pilih antara 2 cara untuk meneruskan:

  1. e-CP55D untuk permohonan melalui laman web.
  2. e-KYC untuk permohonan melalui smartphone yang mana memerlukan pengecaman wajah.

Pilih mengikut kesesuaian dan teruskan sehingga permohonan selesai.

3 Buka Borang BE anda

Paparan utama akaun MyTax anda kelihatan seperti ini:

Paparan utama akaun Portal MyTax
Paparan utama akaun Portal MyTax.

Untuk mula mengisi, klik pada pilihan ‘e-Borang BE 2023‘ yang terletak dibawah bahagian ‘Status borang e-filing bagi tahun taksiran’:

Pautan untuk mengisi e-Borang BE
Klik sini untuk mula mengisi e-borang BE.

Apabila anda klik pada pilihan tersebut, 2 halaman (tab) baru akan dibuka iaitu halaman untuk ‘memilih tahun taksiran’ dan halaman ‘Borang Nyata bahagian Profil Individu’.

Bergantung pada setting pelayar internet anda, kemungkinan 2 halaman ini diblock. Jika tidak diblock, teruskan kebahagian seterusnya.

Jika pop-up blocked, akan keluar notifikasi dibahagian atas pelayar internet yang menyatakan halaman tersebut diblock / ‘prevented from opening’. Klik pada notifikasi tersebut dan pilih ‘allow’ untuk membenarkan halaman tersebut dibuka secara automatik.

Jika kedua-dua halaman tersebut tidak memaparkan apa-apa, tutup kedua-dua halaman dan buka semula dengan cara klik pada pilihan ‘e-Borang BE 2023‘ yang terletak dibawah bahagian ‘Status borang e-filing bagi tahun taksiran’ seperti diatas.

Bahagian pilih tahun taksiran untuk e-Borang

Tab/halaman ini akan terbuka bersama-sama dengan halaman BN Maklumat individu.

Pilih tahun taksiran untuk e-Borang.
Pilih tahun taksiran untuk e-Borang.

Biarkan halaman ini terbuka dan teruskan ke langkah seterusnya.

4 Lengkapkan Maklumat Individu

Daripada 2 tab/halaman yang dibuka tadi, klik atau pilih halaman ‘eBE TT2023’ – eBE Tahun Taksiran 2023.

Bahagian pertama adalah bahagian ‘maklumat individu‘ atau pun ‘Profil Individu‘.

BN maklumat individu
Paparan Borang Nyata Bahagian Maklumat Individu.

Sebahagian maklumat sudah sedia di isi. Lengkapkan yang selebihnya.

Setelah siap klik pada butang ‘Seterusnya‘

5 Lengkapkan Maklumat Lain

Berikut adalah paparan bahagian Borang Nyata Maklumat lain:

BN maklumat lain
Bahagian Borang Nyata maklumat lain.

Lengkapkan butiran yang diminta dalam bahagian ini.

Terdapat beberapa bahagian yang mungkin mengelirukan seperti berikut:

Melupuskan aset di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976

Ini berkenaan dengan penjualan aset seperti rumah dan tanah. Jika anda ada menjual sebarang aset ia berkenaan dengan anda.

Jawapan kebanyakkan adalah tidak.

Jika ya, anda kena laporkan pelupusan tersebut dibahagian ‘Melaporkan pelupusan tersebut kepada LHDNM’

Untuk rujukan tambahan boleh lihat sini.

Tuntutan Insentif

Ini merujuk kepada tuntutan insentif dibawah seksyen 127.

Contohnya mendapat kelulusan bertulis daripada pihak Kementerian untuk pengecualian cukai.

Selalunya kita akan pilih TIDAK BERKENAAN. Untuk senarai rujukan anda boleh lihat – Adakah saya layak menuntut insentif di bawah seksyen 127?

Siap isi, klik pada butang ‘Seterusnya‘ untuk bahagian berikut:

6 Lengkapkan Pendapatan Berkanun dan Jumlah Pendapatan

Berikut merupakan paparan bahagian pendapatan berkanun dan jumlah pendapatan.

Paparan bahagian Pendapatan Berkanun dan Jumlah Pendapatan
Paparan bahagian Pendapatan Berkanun dan Jumlah Pendapatan.

Semasa mengisi bundarkan sen kepada ringgit yang terdekat. Contoh: RM30,000.50 di isi sebagai RM30,000 sahaja.

Anda memerlukan borang EA atau EC anda untuk mengisi bahagian ini. Mari kita lihat satu persatu cara mengisi bahagian ini

(EA untuk majikan syarikat persendirian, EC untuk penjawat awam)

Jika anda perlukan ‘Nota penerangan’ boleh rujuk sini: Nota penerangan

Pendapatan berkanun penggajian punca Malaysia

Maklumat untuk bahagian ini boleh didapati daripada Bahagian B dalam borang EA anda.

Berikut merupakan Bahagian B dalam contoh borang EA/EC:

Borang EA Bahagian B

Jumlahkan kesemua bahagian tersebut. Jumlah akhir masukkan dalam ruangan Pendapatan berkanun penggajian.

Bilangan penggajian

Anda boleh rujuk Bahagian B Nota Penerangan untuk bahagian ini.

Bilangan penggajian bermaksud berapa jumlah majikan yang mengaji anda pada tahun taksiran yang di isi.

Contohnya dalam tahun 2023 anda berkerja dengan 3 buah syarikat. Oleh itu bilanggan penggajian adalah 3.

Jika majikan hanya satu, isikan satu sahaja.

Anda boleh rujuk nota perenggan bahagian B berikut berikut:

Bahagian B nota perenggan

Pendapatan berkanun punca sewa Malaysia

Isikan bahagian ini jika anda mempunyai pendapatan daripada aktiviti @ perniagaan sewa menyewa seperti berikut:

  • Sewa rumah
  • Sewa rumah kedai
  • Sewa tanah
  • Sewa loji
  • Sewa mesin
  • Perabot

Dan yang sewaktu dengannya.

Masukkan jumlah akhir untuk semua pendapatan sewa untuk tahun yang dilaporkan.

Pendapatan berkanun faedah, diskaun, royalti…

Untuk bahagian pendapatan berkanun faedah, diskaun, royalti, premium, pencen, anuiti, bayaran berkala lain dan apa-apa perolehan atau keuntungan lain penerangannya adalah seperti berikut:

  • Faedah: Faedah (Interest/bunga) daripada wang yang disimpan @ dilaburkan dalam mana-mana institusi. Kecuali institusi yang disenaraikan disini.
  • Diskaun: Pendapatan daripada urus niaga pendiskaunan yang melibatkan bil perbendaharaan, bil pertukaran atau nota janji hutang.
  • Royalti: Pendapatan daripada penggunaan hakcipta terpelihara @ paten. Sebagain jumlah pendapatan daripada royalti dikecualikan daripada cukai. Anda boleh rujuk disini.
  • Premium: Pendapatan premium seperti insuran.
  • Pencen: Cukai hanya dikenakan pada mereka yang pencen awal (kurang daripada 55 tahun) atau mendapat lebih daripada 2 gaji pencen.
  • Anuiti: Pendapatan daripada wasiat.
  • Bayaran berkala: Bayaran lain-lain yang diterima berulang kali pada masa tertentu

Selain itu anda boleh melaporkan pendapatan sampingan di sini (Kerja sambilan, tulisan, dan sebagainya).

Jumlahkan kesemuanya dan masukkan jumlah akhir pada ruangan yang disediakan.

TOLAK: Pelaburan yang diluluskan di bawah insentif cukai bagi pelabur mangkin

Pelabur mangkin ini adalah individu yang berpendapatan tinggi dan melaburkan wang mereka pada syarikat tertentu. Pelaburan bernilai atas RM5K dan tidak melebihi RM500K.

Jika anda dalam golongan ini, sila rujuk maklumat lanjut dalam bahagian B6 dalam Nota Penerangan.

TOLAK: Derma / hadiah / sumbangan yang diluluskan

Isi bahagian ini jika anda pernah menderma atau membuat kebajikan. Walaubagaimana pun ia mesti mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan.

Antara jenis derma, hadiah dan sumbangan ialah:

  • Hadiah wang kepada Kerajaan / Kerajaan Negeri / pihak berkuasa tempatan
  • Hadiah wang kepada institusi / organisasi / tabung yang diluluskan
  • Hadiah wang bagi aktiviti sukan
  • Hadiah wang atau sumbangan kos bagi projek berkepentingan
  • Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan
  • Hadiah kemudahan perpustakaan atau kepada perpustakaan
  • Sumbangan untuk kemudahan awam dan kepada orang kurang upaya
  • Sumbangan untuk kos perubatan untuk man-mana badan kesihatan
  • Lukisan kepada balai seni

Jumlahkan kesemuanya dan isikan dalam ruangan yang disediakan.

Potongan Cukai Bulanan PCB

Bahagian ini merekodkan ansuran potongan cukai bulanan yang telah dibayar kepada LHDNM – Potongan yang dibuat daripada gaji bulanan anda.

Untuk ruangan ini, pihak LHDNM telah sedia mengisi jumlah cukai yang mereka terima. Pastikan jumlah tersebut sama dengan apa yang tertera di dalam borang EA anda.

Jika terdapat perbezaan dapatkan kepastian daripada pihak majikan anda. Rujukan utama anda adalah jumlah potongan cukai yang dicatatkan dalam borang EA anda.

Seksyen 107D

Potongan cukai 2% kepada ejen, pengedar atau pengagih. Rujuk bahagian B22 dalam Nota penerangan.

Abaikan jika tidak berkaitan dengan anda.

Ansuran sendiri / CP500

Jika anda membayar cukai sendiri, bukan dari penolakan automatik. Sila isi jumlah dalam ruangan ini.

Pendapatan bukan penggajian bagi tahun kebelakangan yang belum dilaporkan

Jika terdapat sebarang pendapatan (bukan gaji) untuk tahun-tahun sebelumnya (selain daripada tahun yang dilaporkan) yang belum dilaporkan boleh letakkan dalam bahagian ini.

Pendapatan Punca Luar Malaysia yang diterima di Malaysia yang Dikecualikan Cukai

Untuk sebarang pendapatan daripada luar malaysia yang tidak mempunyai rekod. Isikan jumlah dalam bahagian ini.

Siap isi klik pada butang ‘Seterusnya’ untuk ke bahagian Pelepasan.

Adakah post ini membantu?☕
Support Bromoden, lawati dan like page kami: Bromoden Facebook Page. Agar kami lebih bersemangat💪💪. Terima kasih! ❤️

7 Lengkapkan Maklumat Pelepasan

Bahagian ini agak panjang sedikit.

Bahagian Borang Nyata Pelepasan.
Paparan bahagian Borang Nyata Pelepasan.

Adalah baiknya jika anda menyediakan dahulu semua perkara yang akan diminta sebelum ke borang e-Filing yang sebenar.

Sila ambil perhatian, segala dokumen sokongan contohnya resit, hendaklah disimpan dalam tempoh 7 tahun bermula daripada tahun dikemukakan.

Mari kita mulakan.

1. Perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa

Had potongan untuk bahagian ini adalah RM8,000 dan ibu bapa mestilah tinggal di Malaysia.

Tuntutan mestilah disokong oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Terdapat rekod bertulis daripada pengamal perubatan (doktor) yang menyatakan ibu atau bapa memerlukan rawatan perubatan.

Jika ada mengambil khidmat penjaga, mestilah mempunyai bukti akuan bertulis daripada penjaga tersebut (suami/isteri, anak atau diri anda tidak dikira sebagai penjaga)

Antara perbelanjaan perubatan yang layak dalam kategori ini adalah:

  • Rawatan perubatan dan juga penjagaan
  • Rawatan gigi (cabut, tampal, perbersihan karang gigi)

Nota: rawatan kosmetik tidak termasuk dalam bahagian ini.

2. Peralatan sokongan asas untuk kegunaan sendiri, suami/isteri, anak atau ibu bapa yang kurang upaya.

Pembelian alat sokongan seperti mesin hemodialisis, kerusi roda, kaki palsu dan alat pendengaran untuk diri sendiri, pasangan sah, anak dan ibu bapa.

Tidak termasuk cermin mata dan juga kanta lekap.

Had potongan yang dibenarkan adalah RM6,000.

3. Individu kurang upaya

Pelepasan tambahan diberikan kepada golongan individu (pembayar cukai) kurang upaya dengan had sebanyak RM6,000.

4. Yuran pendidikan sendiri

Pelepasan sehingga RM7,000 untuk pendidikan sendiri.

Institusi mestilah diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Jenis pengajian termasuklah:

  • Ijazah di peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah
  • Selain daripada ijazah di peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah
  • Kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri

5. Penyakit serius keatas diri sendiri, suami / isteri atau anak.

Ini merujuk kepada penyakit seperti:

  • AIDS
  • Parkinson
  • Barah
  • Penyakit buah pinggang
  • Leukimia
  • Serangan jantung
  • Pulmonari hyper tension
  • Penyakit hati kronik
  • Hepatitis
  • Trauma kepala
  • Defisit neurologikal
  • ketumbuhan otak
  • Kecacatan pembuluh darah
  • Melepuh @ melecur keterlaluan
  • Pemindahan organ
  • Pemotongan tangan / kaki

Had pelepasan adalah sebanyak RM10,000.

6. Rawatan kesuburan ke atas diri sendiri atau suami/isteri.

Pelepasan sehingga RM10,000.

Untuk rawatan kesuburan seperti Intrauterine Insemination (IUI), dan In vitro fertilization (IVF) dan lain-lain rawatan kesuburan yang diperakui.

Syarat tunturan:

  • Mempunyai resit pengesahan daripada pengamal perubatan.
  • Individu telah berkhawin.

7. Pemvaksinan ke atas diri sendiri, suami/isteri atau anak.

Potongan sehingga RM1,000.

Suntikan vaksin seperti:

  • Pneumococcal
  • Human papillomavirus (HPV)
  • Influenza
  • Rotavirus
  • Varicella
  • Meningococcal
  • Kombinasi tetanus-diphtheria-acellular-pertussis(Tdap)
  • Coronavirus Disease 2019 (COVID-19)

8. Perbelanjaan bagi:

Pemeriksaan perubatan penuh ke atas diri sendiri, suami / isteri atau anak: Apa-apa jenis pemeriksaan yang diperakui oleh Majlis Perubatan Malaysia.

Ujian pengesanan COVID-19 termasuklah pembelian kit ujian: Perbelanjaan mesti dibuktikan oleh klinik atau hospital. Untuk pembelian kit ujian mestilah disokong dengan resit.

Pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi keatas diri sendiri, suami/isteri atau anak: Pemeriksaan atau konsultansi mestilah diperolehi daripada pakar psikitari, ahli psikologi klinikal berdaftar dan kaunselor berdaftar.

Potongan untuk bahagian ini terhad kepada RM1,000.

9. Perbelanjaan ke atas anak berumur 18 tahun dan ke bawah bagi:

  • Penilaian untuk tujuan diagnosis kurang upaya pembelajaran
  • Program intervensi awal atau rawatan pemulihan kurang upaya pembelajaran

Tuntutan mestilah dibuktikan dengan resit yang dikeluarkan oleh pengamal perbuatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia untuk tujuan diagnosis/pemeriksaan awal.

Begitu juga dengan untuk apa-apa program intervensi awal dan pemulihan, mestilah berdaftar dengan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia.

Perbelanjaan yang layak adalah dalam kategori seperti berikut:

  • Autisme Spectrum Disorder
  • Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)
  • Global Developmental Delay (GDD)
  • Intellectual Disability
  • Down Syndrom
  • Specific Learning Disabilities

Untuk bahagian ini potongan terhad kepada RM4,000.

10. Gaya hidup – Perbelanjaan untuk kegunaan / manfaat diri sendiri, suami / isteri atau anak

Potongan untuk bahagian ini terhad pada RM2,500.

Ini termasuk:

  • Pembelian atau langganan buku, jurnal, majalah, surat khabar dan lain-lain penerbitan. Bentuk langganan hardcopy atau elektronik diterima. Tidak termasuk bahan bacan terlarang seperti bacaan lucah.
  • Pembelian komputer, laptop, tablet atau smartphone. Untuk kegunaan diri sendiri, pasangan, anak. Bukan digunakan untuk perniagaan.
  • Pembelian peralatan sukan. Untuk kegunaan diri sendiri, pasangan atau anak. Peralatan sukan termasuklah kepada peralatan yang mempunyai jangka hayat singkat seperti bulu tangkis dan bola golf. Tidak termasuk kepada basikal jenis bermotor. Tidak termasuk yuran kelab yang menyediakan peralatan gimnasium.
  • Bil bulanan langganan internet. Langganan internet atas nama pembayar cukai untuk kegunaan diri sendiri, pasangan atau anak.

11. Gaya hidup – Pelepasan tambahan…

Pelepasan tambahan untuk bahagian gaya hidup dengan had RM500.

Pelepasan kategori ini termasuklah:

  • Pembelian peralatan sukan. Jika pelepasan bahagian sebelumnya tidak mencukupi.
  • Bayaran sewa atau yuran kemasukkan ke mana-mana fasiliti sukan – Jika bahagian sebelumnya tidak mencukupi.
  • Bayaran pendaftaran menyertai pertandingan yang mana penganjurnya diluluskan dan dilesenkan dibawah akta Pesuruhjaya Sukan.

12. Pembelian peralatan penyusuan ibu untuk kegunaan diri sendiri bagi anak berumur 2 tahun dan ke bawah.

Pelepasan cukai ini khas untuk para wanita yang mempunyai anak berumur kurang dari 2 tahun, tinggal di Malaysia dengan had pelepasan sebanyak RM1,000.

Pelepasan ini hanya layak dituntut bagi taksiran persendirian (wanita) atau taksiran bersama atas nama isteri sahaja. Jika anda melakukan taksiran bersama atas nama suami, anda tidak layak untuk memohon pelepasan ini.

Para wanita boleh mengambil pelepasan ini sekali dalam setiap 2 tahun sahaja.

Antara peralatan yang termasuk dalam kategori ini adalah:

  • Kit pam susu dan pek ais
  • Koleksi dan peralatan penyimpanan susu ibu
  • Set atau beg pendingin

12. Yuran penghantaran anak 6 tahun ke bawah ke taman asuhan kanak-kanak/tadika yang berdaftar

Pelepasan sebanyak RM3,000 untuk anak yang berumur 6 tahun ke bawah yang dihantar ke taman asuhan atau tadika yang berdaftar.

Had pelepasan hanya RM3,000 walaupun anak yang memenuhi syarat bahagian ini lebih daripada satu.

Mestilah disokong oleh bukti seperti resit dan juga sijil kelahiran/mykid.

Hak tuntuan pelepasan agak sedikit kompleks.

Sila lihat contoh situasi berikut:

tuntutan perbelanjaan anak bawah 6 tahun untuk yang berkhawin
Tuntutan perbelanjaan anak bawah 6 tahun untuk yang berkhawin.
tuntutan perbelanjaan anak bawah 6 tahun untuk yang bercerai
Tuntutan perbelanjaan anak bawah 6 tahun untuk yang bercerai.

Boleh rujuk bahagian G12 dalam Nota Penerangan.

13. Tabungan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional

Jika anda ada membuat simpanan ke tabung SSPN anda boleh memohon pelepasan dalam bahagian ini dengan had sebanyak RM8,000.

Potongan yang dituntut hanya sah untuk simpanan bersih pada tahun yang dilaporkan setelah ditolak dengan pengeluaran pada tahun yang sama.

Sebagai contoh:

  • Baki awal simpanan pada tahun 2017 adalah = RM10,000
  • Jumlah simpanan pada tahun 2017 = RM5,000
  • Jumlah pengeluaran pada tahun 2017 = RM500
  • Jumlah pelepasan yang boleh dituntut adalah: Simpanan – pengeluaran pada tahun 2017 = RM5,000 – RM500 = RM4,500.

14. Suami / isteri / bayaran alimoni kepada bekas isteri

Pelepasan bahagian ini boleh dituntut jika pasangan anda (suami/isteri yang sah) tidak mempunyai punca pendapatan.

Suami juga boleh menuntut pelepasan ini jika untuk bekas isteri dengan dengan syarat mempunyai bukti perjanjian pembayaran rasmi.

Had pelepasan untuk bahagian ini adalah sebanyak RM4,000.

15. Suami / isteri Yang kurang upaya

Had pelepasan adalah RM5,000.

Tambahan pelepasan untuk suami / isteri yang kurang upaya.

16. Anak

Dalam bahagian Anak ada 3 bahagian iaitu: Anak dibawah 18 tahun, Anak atas 18 tahun dan masih belajar dan anak kurang upaya.

Untuk setiap bahagian tersebut anda boleh memohon pelepasan sama ada dengan 100% kelayakan atau 50% kelayakan sahaja.

Untuk 100% kelayakkan, individu yang menuntut mestilah suami isteri yang sah. Jika anda memilih taksiran berasingan, anak yang sama boleh dituntut sekali sahaja.

Contoh: Mat mempunyai 3 orang anak. Mat menuntut pelepasan untuk 2 orang manakala isterinya menuntut pelepasan untuk seorang sahaja.

Untuk 50% kelayakkan, 2 atau lebih individu boleh menuntut hak ke atas yang sama. Individu yang menuntut tinggal berasingan (atau telah bercerai).

Bagi anak yang berumur 18 tahun kebawah (dan belum berkahwin) had pelepasan adalah RM2,000 seorang.

Bagi anak yang berumur 18 tahun keatas, belum berkahwin dan sedang mengikuti apa-apa kursus pendidikan sepenuh masa had pelepasan adalah sebanyak RM2,000 seorang.

Jika anak anda berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan sedang mengikuti kursus seperti:

  • Pengajian diploma, ijazah dan ke atas di institusi dalam Malaysia (tidak termasuk pra-U atau program matrikulasi)
  • Pengajian ijazah dan ke atas untuk institusi luar Malaysia
  • Atau sebarang institusi pengajian tinggi yang di iktiraf oleh pihak berkuasa / kerajaan

Anda layak untuk memohon pelepasan sebanyak RM8,000 seorang.

Untuk anak kurang upaya, anda layak memohon pelepasan dengan had RM6,000 seorang dengan syarat anak tersebut belum berkahwin.

Jika anak kurang upaya sedang mengikuti pengajian tinggi seperti yang dinyatakan di atas, berumur 18 tahun ke atas dan belum berkahwin, had pelepasan adalah RM14,000 seorang.

17. Insuran nyawa dan KWSP

Had pelepasan untuk bahagian ini adalah RM7,000.

Ini termasuk hasil tambah kedua-dua: Insuran nyawa + potongan epf (KWSP).

Untuk insuran nyawa hanya bayaran untuk suami dan isteri sahaja boleh dituntut. Insuran nyawa untuk anak tidak dibenarkan untuk pelepasan bahagian ini.

Nota: Untuk maklumat berkenaan jumlah caruman EPF (KWSP) anda boleh rujuk bahagian E dalam borang EA/EC anda.

18. Skim Pensaraan Swasta dan Anuiti Tertangguh

Had pelepasan untuk bahagian ini adalah RM3,000.

Jika anda ada mengambil Skim Pensaraan Swasta yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan juga bayaran premium anuiti tertangguh, anda layak untuk memohon pelepasan pada bahagian ini.

19. Insuran pendidikan dan perubatan

Had pelepasan untuk bahagian ini adalah RM3,000.

Pelepasan termasuk insuran yang dibayar atas polisi pendidikan atau perubatan untuk didi sendiri, pasangan dan juga anak.

20. Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Had pelepasan untuk bahagian ini adalah sebanyak RM350.

Nota: Untuk maklumat berkenaan jumlah caruman PERKESO anda boleh rujuk bahagian E dalam borang EA anda.

21. Perbelanjaan bayaran pemasangan, sewaan, pembelian termasuk sewa-beli peralatan atau langganan bagi penggunaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik bagi kenderaan sendiri

Jika anda memiliki kenderaan elektrik untuk tujuan kegunaan sendiri.

Had pelepasan adalah RM2,500.

22. Rebat / Tolakan Cukai / Pelepasan Cukai

  • Zakat dan Fitrah – Merujuk kepada bayaran yang telah anda buat
  • Tolakan cukai seksyen 110 (lain-lain) – Pendapatan yang dikecualikan daripada cukai seperti Unit Trust. Sila rujuk seksyen 110 (mukasurat 320) pada document ini (akta cukai). Memerlukan anda mengisi borang HK6 manual.
  • Pelepasan cukai seksyen 132 dan 133 – Seksyen 132 merujuk kepada kepada pendapatan dari Malaysia yang mana dikenakan cukai di Malaysia dan juga luar Malaysia. Seksyen 133 pula merujuk kepada potongan cukai satu negara sahaja. Sila rujuk seksyen berikut pada mukasurat 350 dalam dokumen ini (akta cukai).

Setelah selesai mengisi semua bahagian ini pergi ke bahagian seterusnya dengan menekan butang “Seterusnya” yang terletak pada bahagian bawa sekali.

8 Bahagian Rumusan

Ruangan ini merumuskan pencukaian dan juga pelepasan yang dikenakan pada anda.

Lihat pada bahagian paling bawah untuk melihat sama ada anda harus membayar atau anda akan dibayar lebihan cukai.

Jika terdapat jumlah tertulis pada ruangan “LEBIHAN BAYARAN TAHUN TAKSIRAN 202X” anda terlebih bayar dan akan dibayar semula untuk cukai terlebih bayar tersebut.

(Akan di kreditkan ke akaun bank yang anda daftar).

Klik pada butang Seterusnya untuk pergi ke bahagian yang seterusnya.

9 Tandatangan dan hantar taksiran

Secara ringkasnya bahagian ini merupakan akuan sumpah yang mengatakan bahawa anda telah mengisi taksiran dengan jujur dan sekiranya tidak jujur anda bersedia untuk menerima sebarang penalti yang ditetapkan.

Untuk mengesahkan dan menghantar taksiran anda perlu klik butang Tandatangan & Hantar yang terletak pada bahagian bawah akuan.

Masukkan no kad pengenalan (tanpa jarak atau sengkang) dan juga kata laluan anda sebagai bukti ‘tandatangan‘.

Paparan pengesahan penerimaan akan muncul.

pengesahan penerimaan
Pengesahan penerimaan e-BE.

Ini mengesahkan bahawa borang taksiran cukai anda sudah berjaya dihantar dan diterima oleh pihak LHDNM.

Adakah post ini membantu?☕
Support Bromoden, lawati dan like page kami: Bromoden Facebook Page. Agar kami lebih bersemangat💪💪. Terima kasih! ❤️

Bahagian Maklumat Tambahan Berkenaan ezHASiL

Bahagian ini mengumpulkan panduan yang mungkin membantu anda untuk mengisi borang taksiran cukai.

Bacaan tambahan

  • Penerangan LHDN bagi setiap perkara yang terdapat dalam borang e-Filing: Nota Penerangan BE Taksiran 2023/2024.

Bagaimana nak ubah jika tersilap isi?

Part ini yang betul-betul kita mahu elakkan.

Jika tersilap isi anda kena membuat surat makluman terperinci tentang kesilapan tersebut serta menyertakan dokumen sokongan contohnya resit pembelian dan sebagainya.

Surat tersebut perlu dikemukakan ke cawangan LHDN yang terdekat. Anda kena hadir dan bawah surat tersebut.

Berapa lama tempoh bayaran balik cukai?

Bayaran balik cukai akan dibuat jika pemotongan terlebih daripada jumlah yang sepatutnya. Bayaran akan dibuat terus kepada bank anda yang didaftarkan dengan LHDNM.

Menurut LHDNM, bayaran balik akan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas anda mengisi borang taksiran cukai anda.

tempoh masa pembayaran balik lebihan potongan cukai

Ini bermaksud dalam masa 30 hari selepas anda menghantar borang tersebut, lebihan cukai akan dimasukkan ke dalam akaun anda.

Dalam rekod saya pada tahun lalu, LHDNM mengambil masa 13 hari untuk membayar semula (lebih kurang 2 minggu).

Pengecualian cukai faedah: Senarai institusi terlibat

Pendapatan faedah yang diterima oleh individu bermastautin daripada wang yang didepositkan dalam institusi berikut adalah dikecualikan cukai:

  • Bank atau syarikat kewangan yang dilesenkan atau yang disifatkan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan;
  • Bank yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013;
  • Institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002;
  • Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1995;
  • Malaysia Building Society Berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016;
  • Borneo Housing Finance Berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016; dan
  • Koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993

Jumlah pengecualian cukai untuk pendapatan royalti

  • Penerbitan hasil seni, rakaman pita dan cakera: RM10,000
  • Penterjemahan buku dan karya sastera: RM12,000
  • Penerbitan karya kesusasteraan, lukisan asli, gubahan muzik: RM20,000

Untuk sebarang pertanyaan lanjut

Untuk sebarang pertanyaan yang lebih mendalam, pihak HASiL boleh dihubungi melalui cara berikut:

  • Talian Hasil Contact Centre 03-8911 1000
  • HASiL Live Chat. Butang chat terletak di halaman – https://www.hasil.gov.my/hubungi-kami
  • Borang maklum balas – https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

Kongsikan jika panduan ini bermanfaat @ membantu anda!

Kongsikan post ini:

  • Tweet
  • Telegram
  • WhatsApp

Reader Interactions

Comments

  1. nadia says

    March 2, 2024 at 10:13 PM

    Terima kasih atas penerangan, sgt membantu saya yg pertama kali isi guna MyTax. Thank you!

    Reply
    • B. L. Joseph says

      March 3, 2024 at 12:02 AM

      Welcome! Gembira dapat membantu. Jangan lupa like dan follow page bromoden untuk sebarang info terkini 😆

      Reply
  2. Rachelle says

    March 6, 2024 at 11:42 PM

    Terima kasih atas pencerahan. Izinkan saya bertanya, bagi tujuan ini, “jika ada mengambil khidmat penjaga, mestilah mempunyai bukti akuan bertulis daripada penjaga tersebut (suami/isteri, anak atau diri anda tidak dikira sebagai penjaga)”, selain daripada resit/akuan bertulis daripada penjaga, adakah dokumen lain yang perlu disediakan? Terima kasih.

    Reply
  3. rinaghani says

    March 10, 2024 at 3:18 PM

    Hi.saya nak tanya.saya ada 2 penggajian tahun 2023. majikan pertama tolak cukai dan bayar pada lhdn.majikan kedua kata saya tak perlu bayar cukai.
    Jadi, pendapatan dari majikan kedua tu kena isytihar tak dalam e-filing?

    Reply
    • B. L. Joseph says

      March 11, 2024 at 6:22 PM

      Kalau ikutkan memang kena maklumkan juga. Sebab cukai ni dikira dari total pendapatan individu. Tapi ini terpulang pilihan sendiri. Tak mahu bayar cukai lebih, kita tak perlu bagitau. Kalau nak safe isytiharkan semua.

      Reply
  4. Noridawati mohd nor says

    March 13, 2024 at 10:16 AM

    UNTUK CLAIM TELEFON ADAKAH MASIH TERHAD 2 TAHUN ?

    Reply
  5. Nor Izzati Binti Mohd Pabli says

    March 19, 2024 at 2:34 PM

    saya nak tanya. Dalam EA form, bahagian F (Jumlah Elaun/Perkuisit/Pemberian/Manfaat Yang Dikecualikan), Nak isi dalam EFailing bahagian mana ye? Jenuh sy cari. Xjumpa.

    Reply
    • Caroline M says

      May 4, 2024 at 11:31 PM

      Hi Izzati. Dah dapat jawapan ke? Saya pun nak tanya soalan yang sama..

      Reply
  6. Ridzuan says

    April 14, 2024 at 2:12 PM

    kalau kita bayar cukai tanah bole kita masukkan juga tak masa nak buat efiling ini

    Reply
  7. jeffrey says

    April 24, 2024 at 6:59 PM

    hello,

    1. cukai ditanggung oleh majikan tu nak isi apa?

    2. Dalam EA tulis begini:
    Gaji kasar = aaa
    Fi 9komisen, bonus = bbb
    Tip kasar = ccc

    Jadi bila isi di ruang Pendapatan Berkanun Pengajian Punca Malaysia adakah kita isi begini total aaa+bbb+ccc? ATAU asingkan?

    TQ

    Reply
  8. Usha Durairaju says

    April 30, 2024 at 8:00 PM

    Saya bertugas dengan kerajaan dan pilih pencen. Tapi saya ada buat caruman KWSP secara sukarela. Boleh saya claim pelepasan?

    Reply
  9. NURUL ASYIERA says

    May 6, 2024 at 4:32 PM

    Nak tanya, contoh saya akan retrench pada dec 2024. tapi taksiran tahun 2022 saya tak declare lagi. Untuk pengetahuan, saya memang tidak pernah dikenakan cukai dgn gaji saya yg biasa2 je. Persoalannya, adakah saya akan dapat duit pampasan tersebut? atau tidak ya.

    Reply

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Primary Sidebar

Hustle Drops Sport Boost

Hustle Drop Sport Boost

Post Popular di Bromoden

  • 12 Laman Web Movie Percuma Terbaik [Updated 2024]
  • 10 Cara Melajukan Handphone Android yang Lambat
  • Cara isi e-Filing (MyTax) untuk 2023/2024 [Panduan Lengkap]
  • Cara Tukar Limit Maybank2u (Transfer / Debit Kad / ATM)
  • Apa itu Google Local Guide? Sangat Menguntungkan Manfaatnya
  • 29 Kelebihan Kad Bigpay - Berbaloi atau tidak?
  • Cara Daftar i-Akaun KWSP secara Online
  • Dimana 'Likes' Shopee untuk versi laman web?
  • Tips Beli Barang Dari Luar Negara
  • Cara Share Internet PC ke Android guna USB

Google Ads

Post terbaru di Bromoden

  • Cara Copy Link Whatsapp (Tak Perlu Save Nombor)
  • Cara isi e-Filing (MyTax) untuk 2023/2024 [Panduan Lengkap]
  • Kenal Pasti Teknik Phishing di Facebook
  • 30+ Pakej Internet Terbaik untuk Rumah [Updated 2024]
  • 31 Laman Web Online Shopping Malaysia [Senarai 2024]
  • 12 Laman Web Movie Percuma Terbaik [Updated 2024]
  • 6 App Lajukan Internet untuk Android [Updated 2024]
  • Tips Beli Barang Dari Luar Negara
  • Cara Repair Pendrive Rosak / Corrupted
  • Contoh URL yang Selamat – Jangan Tertipu

Advertisement

kad bank skin

Footer

Siapa Bromoden?

laman web Bromoden

Bromoden mengongsikan tips, panduan, rujukan, review yang boleh membantu anda untuk menjalani kehidupan moden, memanfaatkan teknologi semasa untuk menjadikan kehidupan kita lebih senang. Lihat maklumat lanjut tentang Bromoden.

Kategori bacaan

  • Apps / Gajet
  • Hiburan / Media
  • Internet / Online
  • Komputer / Software
  • Review / Cadangan

Menu penting

  • Laman Utama
  • Tentang Bromoden
  • Hubungi
  • Dasar Privasi
  • Penafian
  • Terma dan Syarat

- Copyright © 2025 · Bromoden -