
Panduan lengkap cara isi borang (eFiling) e-Filing LHDN, langkah demi langkah.
Anda mahu isi borang eFiling secara online di laman web LHDN – ezHasil.
Dan anda perlukan sedikit rujukan agar proses tersebut berjalan lancar.
(Tidak kira kali pertama isi atau sudah berkali-kali)
Post ini dicipta khas untuk tujuan tersebut.
Panduan cara isi efiling lhdn ini dibuat langkah demi langkah untuk membimbing anda dari mula hingga anda menekan butang ‘Hantar’.
Tambahan: Panduan dari LHDN.
Baca seimbas lalu dahulu post ini hingga habis dan sediakan semua dokumen @ info yang diperlukan agar proses pengisian anda boleh selesai dengan ‘one go’ sahaja.
Isi kandungan dalam post ini:
Perkara penting untuk diketahui
Sila ambil perhatian.
Beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui untuk proses pengisian borang be efiling secara online:
- Masa tidak aktif untuk satu bahagian adalah 130 saat.
- Tarikh mula boleh isi borang seawal 1 Mac
- Tarikh akhir mengisi borang adalah 30 April
- Pembayaran balik cukai terlebih bayar dibuat 2 minggu selepas tarikh penghantaran.
Apabila anda terhenti dalam satu bahagian semasa mengisi borang jangan lebih dari 130 saat.
(Mungkin anda berhenti untuk mengira atau mencari maklumat)
Lebih dari itu amaran untuk teruskan atau keluar akan muncul.
Bila anda klik untuk teruskan semua maklumat yang telah di isi akan hilang – tidak disimpan.
Kena isi semula. Dan ini amat menjengkelkan.
(Harap pihak lhdn dapat menyelesaikan masalah ini)
Pembayaran balik untuk cukai yang terlebih bayar ‘selalunya’ dibuat selepas 13-14 hari daripada tarikh anda menghantar borang.
Bukan selepas tarikh tutup 30 April.
Isi cepat, dapat cepat.
Dokumen yang diperlukan
Antara senarai dokumen yang perlu ada:
- Borang EA – Daripada Majikan anda
- Tarikh Kahwin/cerai/mati – Mana-mana yang berkenaan
- Bank dan No akaun Bank
- Nombor kad pengenalan pasangan (dan juga anda)
- Tarikh lahir pasangan
- Nombor kad pengenalan ibu dan bapa
Dan juga resit atau bukti pembelian/perbelanjaan pada tahun taksiran untuk (mana-mana yang berkaitan):
- Diri sendiri, pasangan, anak dan juga ibu bapa
- Alat sokongan khas
- Pendidikan diri sendiri dan anak tahun yang dilaporkan
- Buku, majalah, surat khabar atau bahan bercetak
- Komputer, laptop, telefon pintar
- Peralatan sukan
- Bil bulanan langganan internet (atas nama sendiri)
- Alat penyusuan ibu (wanita sahaja)
- Taman asuhan kanak-kanak/TADIKA
- Tabungan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional
- Alimoni bekas isteri
- Insuran nyawa, pendidikan dan perubatan
- Zakat/ Fitrah
(untuk lebih jelas, baca hingga habis dahulu)
Langkah-langkah untuk Membuat efiling
Untuk memudahkan anda, panduan ini disusun mengikut urutan sebenar pada sistem e-Filing.
Sebarang maklumat tambahan dikumpulkan pada bahagian akhir post ini.
Sebelum meneruskan pastikan “pop-up blocker” untuk pelayar internet anda ditutup sementara kerana sistem efiling ini menggunakan pop-up windows.
Sila rujuk bahagian Cara tutup Pop-up Blocker untuk panduan.
Selamat mengisi dan claim semula duit cukai anda!
1 Akses ke laman web e-Filing / ezHASiL
Anda boleh akses e-Filing LHDN dengan:
- Menggunakan url : https://ez.hasil.gov.my/CI/ atau;
- Guna Google search untuk kata kunci ehasil , ezHASiL atau LHDN.
Nota: Bergantung kepada pengurus website LHDN, url diatas mungkin akan berubah dari masa ke semasa. Oleh itu lebih baik gunakan fungsi carian google.
Ini akan membawa anda ke paparan login untuk eHASiL seperti berikut:
2 Log Masuk akaun ezHASiL Anda
Info tambahan: Rujuk Daftar kali pertama jika ini kali pertama anda mengisi dan Terlupa Kata Laluan jika anda tidak ingat password anda.
- Masukkan Nombor kad Pengenalan anda (tanpa jarak/space atau sengkang)
- Klik pada butang Hantar.
Paparan berikut akan muncul.
- Sebelum memasukkan kata laluan/password anda, pastikan Frasa keselamatan yang dipaparkan merupakan frasa keselamatan anda.
- Masukkan kata laluan anda dan klik butang Teruskan
3 Buka Borang BE anda
Berikut merupakan paparan utama yang anda jumpa selepas log masuk ke dalam akaun ezHASiL anda.
- Pada paparan utama pilih pautan e-Borang yang terletak dibawah bahagian e-Filing.
- Paparan berikut akan muncul:
- Pada bahagian e-BE, klik pada butang Tahun Taksiran dan pilih tahun yang ingin anda laporkan.
- Ini akan membawa anda ke bahagian yang seterusnya iaitu bahagian: Borang Nyata Individu
4 Lengkapkan Maklumat Individu
Berikut merupakan contoh paparan bahagian Maklumat Individu:
Sebahagian daripada bahagian ini sudah di isi sedia oleh pihak LHDNM sendiri. Anda hanya perlu melengkapkan atau mengubah data mengikut data sebenar yang anda ada.
Isikan sahaja maklumat yang diminta seperti – Nama, tarikh lahir, jantina dan sebagainya.
Terdapat beberapa bahagian yang agak mengelirukan, kurang jelas dan susah difahami.
Bahagian tersebut saya senaraikan seperti berikut:
- Layak menuntut insentif dibawah seksyen 127: Contohnya mendapat kelulusan bertulis daripada pihak Kementerian untuk pengecualian cukai. Selalunya kita akan pilih TIDAK BERKENAAN. Untuk senarai rujukan anda boleh lihat – Adakah saya layak menuntut insentif di bawah seksyen 127?
- Melupuskan aset dibawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976: Ini berkenaan dengan penjualan aset seperti rumah dan tanah. Jika anda ada menjual sebarang aset ia berkenaan dengan anda. Untuk panduan rujuk sini.
- Melaporkan pelupusan tersebut kepada LHDNM: Isikan bahagian ini jika anda menyawab ya pada bahagian diatas. Selain itu abaikan.
Setelah selesai teruskan ke bahagian PENDAPATAN.
5 Lengkapkan Maklumat Berkenaan dengan Pendapatan anda
Klik pada bahagian Pendapatan yang terletak pada bahagian akhir Maklumat Individu.
Ini akan membawa anda ke paparan seperti berikut:
Semasa mengisi bundarkan sen kepada ringgit yang terdekat. Contoh: RM30,000.50 di isi sebagai RM30,000 sahaja.
Anda memerlukan borang EA anda untuk mengisi bahagian ini. Mari kita lihat satu persatu cara mengisi bahagian ini
Pendapatan berkanun penggajian
Maklumat untuk bahagian ini boleh didapati daripada Bahagian B dalam borang EA anda.
Berikut merupakan Bahagian B dalam contoh borang EA:
Jumlahkan kesemua bahagian tersebut. Jumlah akhir masukkan dalam ruangan Pendapatan berkanun penggajian.
Bilangan penggajian
Anda boleh rujuk Bahagian B Nota Penerangan untuk bahagian ini.
(Nota diatas disenaraikan dalam senarai carian borang & nota LHDN)
Terdapat juga butang Nota penerangan yang boleh anda klik pada bahagian bawah sekali borang be anda.
Bilangan penggajian bermaksud berapa jumlah majikan yang mengaji anda pada tahun taksiran yang di isi.
Contohnya dalam tahun 2019 anda berkerja dengan 3 buah syarikat. Oleh itu bilanggan penggajian adalah 3.
Jika cuma 1 syarikat isi 1.
Anda boleh rujuk nota perenggan bahagian B berikut berikut:
Pendapatan berkanun sewa
Isikan bahagian ini jika anda mempunyai pendapatan daripada aktiviti @ perniagaan sewa menyewa seperti berikut:
- Sewa rumah
- Sewa rumah kedai
- Sewa tanah
- Sewa loji
- Sewa mesin
- Perabot
Dan yang sewaktu dengannya.
Masukkan jumlah akhir untuk semua pendapatan sewa untuk tahun yang dilaporkan.
Pendapatan berkanun faedah, diskaun, royalti…
Untuk bahagian pendapatan berkanun faedah, diskaun, royalti, premium, pencen, anuiti, bayaran berkala lain dan apa-apa perolehan atau keuntungan lain penerangannya adalah seperti berikut:
- Faedah: Faedah (Interest/bunga) daripada wang yang disimpan @ dilaburkan dalam mana-mana institusi. Kecuali institusi yang disenaraikan disini.
- Diskaun: Pendapatan daripada urus niaga pendiskaunan yang melibatkan bil perbendaharaan, bil pertukaran atau nota janji hutang.
- Royalti: Pendapatan daripada penggunaan hakcipta terpelihara @ paten. Sebagain jumlah pendapatan daripada royalti dikecualikan daripada cukai. Anda boleh rujuk disini.
- Premium: Pendapatan premium seperti insuran.
- Pencen: Cukai hanya dikenakan pada mereka yang pencen awal (kurang daripada 55 tahun) atau mendapat lebih daripada 2 gaji pencen.
- Anuiti: Pendapatan daripada wasiat.
- Bayaran berkala: Bayaran lain-lain yang diterima berulang kali pada masa tertentu
Selain itu anda boleh melaporkan pendapatan sampingan di sini (Kerja sambilan, tulisan, dan sebagainya).
Jumlahkan kesemuanya dan masukkan jumlah akhir pada ruangan yang disediakan.
TOLAK: Derma / hadiah / sumbangan yang diluluskan
Isi bahagian ini jika anda pernah menderma atau membuat kebajikan. Walaubagaimana pun ia mesti mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan.
Antara jenis derma, hadiah dan sumbangan ialah:
- Hadiah wang kepada Kerajaan / Kerajaan Negeri / pihak berkuasa tempatan
- Hadiah wang kepada institusi / organisasi / tabung yang diluluskan
- Hadiah wang bagi aktiviti sukan
- Hadiah wang atau sumbangan kos bagi projek berkepentingan
- Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan
- Hadiah kemudahan perpustakaan atau kepada perpustakaan
- Sumbangan untuk kemudahan awam dan kepada orang kurang upaya
- Sumbangan untuk kos perubatan untuk man-mana badan kesihatan
- Lukisan kepada balai seni
Jumlahkan kesemuanya dan isikan dalam ruangan yang disediakan.
Ansuran Potongan Cukai Bulanan PCB…
Bahagian ini merekodkan ansuran potongan cukai bulanan yang telah dibayar kepada LHDNM – Potongan yang dibuat daripada gaji bulanan anda.
Untuk ruangan ini, pihak LHDNM telah sedia mengisi jumlah cukai yang mereka terima. Pastikan jumlah tersebut sama dengan apa yang tertera di dalam borang EA anda.
Jika terdapat perbezaan dapatkan kepastian daripada pihak majikan anda. Rujukan utama anda adalah jumlah potongan cukai yang dicatatkan dalam borang EA anda.
Pendapatan bukan penggajian bagi tahun kebelakangan yang belum dilaporkan
Jika terdapat sebarang pendapatan (bukan gaji) untuk tahun-tahun sebelumnya (selain daripada tahun yang dilaporkan) yang belum dilaporkan boleh letakkan dalam bahagian ini.
Setelah selesai mengisi kesemua bahagian dalam bahagian ini pergi ke bahagian seterusnya iaitu bahagian pelepasan.
6 Lengkapkan Maklumat untuk Pelepasan
Ini termasuk rebat, tolakan cukai dan pelepasan cukai.
Bahagian ini agak panjang sedikit. Adalah baiknya jika anda menyediakan dahulu semua perkara yang akan diminta sebelum ke borang e-Filing yang sebenar.
Mari kita mulakan.
1. Perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa
Had potongan untuk bahagian ini adalah RM5,000 dan ibu bapa mestilah tinggal di Malaysia.
Tuntutan mestilah disokong oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia. Terdapat rekod bertulis daripada pengamal perubatan (doktor) yang menyatakan ibu atau bapa memerlukan rawatan perubatan.
Jika ada mengambil khidmat penjaga, mestilah mempunyai bukti akuan bertulis daripada penjaga tersebut (suami/isteri, anak atau diri anda tidak dikira sebagai penjaga)
Antara perbelanjaan perubatan yang layak dalam kategori ini adalah:
- Rawatan perubatan dan juga penjagaan
- Rawatan gigi (cabut, tampal, perbersihan karang gigi)
Nota: rawatan kosmetik tidak termasuk dalam bahagian ini.
2. Ibu dan Bapa
Individu yang layak untuk menuntut pelepasan pada bahagian ini mestilah:
- Anak kandung atau anak angkat yang sah.
- Anda tidak menuntut untuk ruangan perbelanjaan rawatan, keperluan khas untuk ibu bapa
- Ibu atau bapa berumur 60 tahun ke atas, berpendapatan tidak melebihi RM24,000 setahun dan tinggal di Malaysia.
Had pelepasan untuk bahagian ini adalah RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa.
Jika kesemua adik beradik menuntuk pelepasan, had pelepasan mestilah dibahagi rata dengan jumlah bilangan individu yang menuntut.
3. Peralatan sokongan asas untuk kegunaan sendiri, suami/isteri, anak atau ibu bapa yang kurang upaya.
Pembelian alat sokongan seperti mesin hemodialisis, kerusi roda, kaki palsu dan alat pendengaran untuk diri sendiri, pasangan sah, anak dan ibu bapa.
Had potongan yang dibenarkan adalah RM6,000.
4. Individu kurang upaya
Pelepasan tambahan diberikan kepada golongan individu kurang upaya dengan had sebanyak RM6,000.
5. Yuran pendidikan sendiri
Jika anda sedang mengikuti pendidikan yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran atau kelayakkan diri anda layak untuk menuntut pelepasan sehinggan RM7,000.
Institusi atau badan profesional tersebut mestilah diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Contoh pendidikan:
- Peringkat sarjana atau doktor falsafah.
- Pendidikan tertieri selain daripada sarjana dan Doktor falsafah – bidang perundangan, perakaunan, kewangan islam, teknikal, vokasional, industri, teknologi…
6. Perbelanjaan perubatan bagi penyakit sukar diubati atas diri sendiri, suami/isteri dan anak.
Ini merujuk kepada penyakit seperti:
- AIDS
- Parkinson
- Barah
- Penyakit buah pinggang
- Leukimia
- Serangan jantung
- Pulmonari hyper tension
- Penyakit hati kronik
- Hepatitis
- Trauma kepala
- Defisit neurologikal
- ketumbuhan otak
- Kecacatan pembuluh darah
- Melepuh @ melecur keterlaluan
- Pemindahan organ
- Pemotongan tangan / kaki
Had pelepasan adalah sebanyak RM6,000 (ini termasuk RM500 perbelanjaan perubatan pada bahagian berikutnya).
7. Pemeriksaan perubatan penuh atas diri sendiri, suami/isteri dan anak
Sebarang pemeriksaan perubatan untuk diri sendiri, pasangan sah dan juga anak dengan had sebanyak RM500.
8. Gaya hidup – perbelanjaan untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak
Pelepasan untuk kategori gaya hidup dengan had sebanyak RM2,500 untuk diri sendiri, pasangan yang sah dan juga anak.
Kategori ini termasuklah:
- Pembelian buku, majalah, surat khabar bercetak dan lain-lain penerbitan yang serupa – Dalam bentuk hardcopy atau softcopy dan tidak termasuk bacaan terlarang (bacaan dewasa dan sebagainya).
- Pembelian komputer, laptop, smartphone atau tablet – bukan untuk tujuan perniagaan.
- Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan dan bayaran gimnasium – senarai penuh boleh rujuk di sini (senarai boleh dan tidak boleh).
- Bayaran bil bulanan internet – Bil mestilah didaftarkan atas nama sendiri.
Rujukan tambahan: Akta Pembangunan Sukan
9. Pembelian peralatan penyusuan ibu untuk kegunaan diri sendiri bagi anak berumur 2 tahun dan ke bawah.
Pelepasan cukai ini khas untuk para wanita yang mempunyai anak berumur kurang dari 2 tahun, tinggal di Malaysia dengan had pelepasan sebanyak RM1,000.
Pelepasan ini hanya layak dituntut bagi taksiran persendirian (wanita) atau taksiran bersama atas nama isteri sahaja. Jika anda melakukan taksiran bersama atas nama suami, anda tidak layak untuk memohon pelepasan ini.
Para wanita boleh mengambil pelepasan ini sekali dalam setiap 2 tahun sahaja.
Antara peralatan yang termasuk dalam kategori ini adalah:
- Kit pam susu dan pek ais
- Koleksi dan peralatan penyimpanan susu ibu
- Set atau beg pendingin
9. Yuran penghantaran anak 6 tahun ke bawah ke taman asuhan kanak-kanak/tadika yang berdaftar
Pelepasan sebanyak RM1,000 untuk anak yang berumur 6 tahun ke bawah yang dihantar ke taman asuhan atau tadika yang berdaftar.
Had pelepasan hanya RM1,000 walaupun anak yang memenuhi syarat bahagian ini lebih daripada satu.
Siapa yang boleh menuntut pelepasan ini?
Kesemua jenis taksiran dengan syarat tidak melebihi RM1,000. Jika anda memilih taksiran berasingan, tuntutan boleh dibuat ke atas anak yang sama dengan syarat setiap tuntutan tidak melebihi RM1,000.
Nota: Tuntutan untuk bahagian ini juga boleh dibuat oleh individu yang telah bercerai ke atas anak yang sama.
10. Tabungan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional
Jika anda ada membuat simpanan ke tabung SSPN anda boleh memohon pelepasan dalam bahagian ini dengan had sebanyak RM6,000.
Potongan yang dituntut hanya sah untuk simpanan bersih pada tahun yang dilaporkan setelah ditolak dengan pengeluaran pada tahun yang sama.
Sebagai contoh:
- Baki awal simpanan pada tahun 2017 adalah = RM10,000
- Jumlah simpanan pada tahun 2017 = RM5,000
- Jumlah pengeluaran pada tahun 2017 = RM500
- Jumlah pelepasan yang boleh dituntut adalah: Simpanan – pengeluaran pada tahun 2017 = RM5,000 – RM500 = RM4,500.
11. Suami / isteri / bayaran alimoni kepada bekas isteri
Pelepasan bahagian ini boleh dituntu jika pasangan anda (suami/isteri yang sah) tidak mempunyai punca pendapatan.
Suami juga boleh menuntut pelepasan ini jika untuk bekas isteri dengan dengan syarat mempunyai bukti perjanjian pembayaran rasmi.
Had pelepasan untuk bahagian ini adalah sebanyak RM4,000.
12. Anak
Dalam bahagian Anak ada 3 bahagian iaitu: Anak dibawah 18 tahun, Anak atas 18 tahun dan masih belajar dan anak kurang upaya.
Untuk setiap bahagian tersebut anda boleh memohon pelepasan sama ada dengan 100% kelayakan atau 50% kelayakan sahaja.
Untuk 100% kelayakkan, individu yang menuntut mestilah suami isteri yang sah. Jika anda memilih taksiran berasingan, anak yang sama boleh dituntut sekali sahaja.
Contoh: Mat mempunyai 3 orang anak. Mat menuntut pelepasan untuk 2 orang manakala isterinya menuntut pelepasan untuk seorang sahaja.
Untuk 50% kelayakkan, 2 atau lebih individu boleh menuntut hak ke atas yang sama. Individu yang menuntut tinggal berasingan (atau telah bercerai).
Bagi anak yang berumur 18 tahun kebawah (dan belum berkahwin) had pelepasan adalah RM2,000 seorang.
Bagi anak yang berumur 18 tahun keatas, belum berkahwin dan sedang mengikuti apa-apa kursus pendidikan sepenuh masa had pelepasan adalah sebanyak RM2,000 seorang.
Jika anak anda berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan sedang mengikuti kursus seperti:
- Pengajian diploma, ijazah dan ke atas di institusi dalam Malaysia (tidak termasuk pra-U atau program matrikulasi)
- Pengajian ijazah dan ke atas untuk institusi luar Malaysia
- Atau sebarang institusi pengajian tinggi yang di iktiraf oleh pihak berkuasa / kerajaan
Anda layak untuk memohon pelepasan sebanyak RM8,000 seorang.
Untuk anak kurang upaya, anda layak memohon pelepasan dengan had RM6,000 seorang dengan syarat anak tersebut belum berkahwin.
Jika anak kurang upaya sedang mengikuti pengajian tinggi seperti yang dinyatakan di atas, berumur 18 tahun ke atas dan belum berkahwin, had pelepasan adalah RM14,000 seorang.
13. Insuran nyawa dan KWSP
Had pelepasan untuk bahagian ini adalah RM6,000.
Ini termasuk hasil tambah kedua-dua: Insuran nyawa + potongan epf (KWSP).
Untuk insuran nyawa hanya bayaran untuk suami dan isteri sahaja boleh dituntut. Insuran nyawa untuk anak tidak dibenarkan untuk pelepasan bahagian ini.
Nota: Untuk maklumat berkenaan jumlah caruman EPF (KWSP) anda boleh rujuk bahagian E dalam borang EA anda.
14. Skim Pensaraan Swasta dan Anuiti Tertangguh
Had pelepasan untuk bahagian ini adalah RM3,000.
Jika anda ada mengambil Skim Pensaraan Swasta yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan juga bayaran premium anuiti tertangguh, anda layak untuk memohon pelepasan pada bahagian ini.
15. Insuran pendidikan dan perubatan
Had pelepasan untuk bahagian ini adalah RM3,000.
Pelepasan termasuk insuran yang dibayar atas polisi pendidikan atau perubatan untuk didi sendiri, pasangan dan juga anak.
16. Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Had pelepasan untuk bahagian ini adalah sebanyak RM250.
Nota: Untuk maklumat berkenaan jumlah caruman PERKESO anda boleh rujuk bahagian E dalam borang EA anda.
17. Rebat / Tolakan Cukai / Pelepasan Cukai
- Zakat dan Fitrah – Merujuk kepada bayaran yang telah anda buat
- Tolakan cukai seksyen 110 (lain-lain) – Pendapatan yang dikecualikan daripada cukai seperti Unit Trust. Sila rujuk seksyen 110 (mukasurat 320) pada document ini (akta cukai). Memerlukan anda mengisi borang HK6 manual.
- Pelepasan cukai seksyen 132 dan 133 – Seksyen 132 merujuk kepada kepada pendapatan dari Malaysia yang mana dikenakan cukai di Malaysia dan juga luar Malaysia. Seksyen 133 pula merujuk kepada potongan cukai satu negara sahaja. Sila rujuk seksyen berikut pada mukasurat 350 dalam dokumen ini (akta cukai).
Setelah selesai mengisi semua bahagian ini pergi ke bahagian seterusnya dengan menekan butang “Rumusan” yang terletak pada bahagian bawa sekali.
7 Lihat Rumusan
Ruangan ini merumuskan pencukaian dan juga pelepasan yang dikenakan pada anda.
Lihat pada bahagian paling bawah untuk melihat sama ada anda harus membayar atau anda akan dibayar lebihan cukai.
Jika terdapat jumlah tertulis pada ruangan “LEBIHAN BAYARAN TAHUN TAKSIRAN 201X” bermakna anda akan menerima semula wang tersebut (akan di bank in dalam akaun yang anda daftar).
Klik pada butang teruskan untuk pergi ke bahagian yang seterusnya.
8 Tandatangan dan hantar taksiran
Paparan seperti berikut akan muncul:
Secara ringkasnya bahagian ini merupakan akuan sumpah yang mengatakan bahawa anda telah mengisi taksiran dengan jujur dan sekiranya tidak jujur anda bersedia untuk menerima sebarang penalti yang ditetapkan.
Untuk mengesahkan dan menghantar taksiran anda perlu klik butang Tandatangan & Hantar yang terletak pada bahagian bawah akuan.
Paparan notifikasi akan muncul (jika terdapat lebihan pembayaran cukai), tekan OK untuk meneruskan.
Paparan Tandatangan akan muncul seperti berikut:
Masukkan no kad pengenalan (tanpa jarak atau sengkang) dan juga kata laluan anda sebagai bukti ‘tandatangan‘.
Paparan pengesahan penerimaan akan muncul.
Ini mengesahkan bahawa borang taksiran cukai anda sudah berjaya dihantar dan diterima oleh pihak LHDNM.
Terdapat beberapa butang pilihan yang disediakan pada bahagian ini. Anda boleh simpan dan juga cetak keluar borang pengesahan tersebut.
Seterusnya klik pada butang “Keluar Exit” pada bahagian bawah untuk keluar.
Paparan terakhir adalah seperti berikut:
Dengan munculnya paparan diatas bermakna pengisian borang taksiran cukai anda sudah selesai.
Nota: Bahagian Semakan pengesahan terletak di bawah bahagian e-filing. Login akaun anda untuk lihat bahagian ini:

Bahagian Maklumat Tambahan Berkenaan ezHASiL
Bahagian ini mengumpulkan panduan yang mungkin membantu anda untuk mengisi borang taksiran cukai.
Bacaan tambahan
- Penerangan LHDN bagi setiap perkara yang terdapat dalam borang e-Filing: Nota Penerangan BE.
Bagaimana nak ubah jika tersilap isi?
Part ini yang betul-betul kita mahu elakkan.
Jika tersilap isi anda kena membuat surat makluman terperinci tentang kesilapan tersebut serta menyertakan dokumen sokongan contohnya resit pembelian dan sebagainya.
Surat tersebut perlu dikemukakan ke cawangan LHDN yang terdekat. Anda kena hadir dan bawah surat tersebut.
Berapa lama tempoh bayaran balik cukai?
Bayaran balik cukai akan dibuat jika pemotongan terlebih daripada jumlah yang sepatutnya. Bayaran akan dibuat terus kepada bank anda yang didaftarkan dengan LHDNM.
Menurut LHDNM, bayaran balik akan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas anda mengisi borang taksiran cukai anda.
Ini bermaksud dalam masa 30 hari selepas anda menghantar borang tersebut, lebihan cukai akan dimasukkan ke dalam akaun anda.
Dalam rekod saya pada tahun lalu, LHDNM mengambil masa 13 hari untuk membayar semula (lebih kurang 2 minggu).
Pengecualian cukai faedah: Senarai institusi terlibat
Pendapatan faedah yang diterima oleh individu bermastautin daripada wang yang didepositkan dalam institusi berikut adalah dikecualikan cukai:
- Bank atau syarikat kewangan yang dilesenkan atau yang disifatkan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan;
- Bank yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013;
- Institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002;
- Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1995;
- Malaysia Building Society Berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016;
- Borneo Housing Finance Berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016; dan
- Koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993
Jumlah pengecualian cukai untuk pendapatan royalti
- Penerbitan hasil seni, rakaman pita dan cakera: RM10,000
- Penterjemahan buku dan karya sastera: RM12,000
- Penerbitan karya kesusasteraan, lukisan asli, gubahan muzik: RM20,000
Untuk sebarang pertanyaan lanjut
Untuk pertanyaan mendalam / lebih lanjut yang mana tidak terjawab dalam post ini anda boleh rujuk terus kepada pihak lhdn menggunakan sistem chat & pilihan faq mereka.
Fungsi ini terletak pada sebelah kanan paparan browser anda:
Kongsikan jika panduan ini bermanfaat @ membantu anda!
Leave a Reply